Silalah Isi Minyak Di Malaysia.
Harian Metro- Larangan Ditarik Balik
Oleh Kamarulzaman Pid
PUTRAJAYA: Larangan menjual minyak bersubsidi kepada kenderaan asing di sempadan yang dijalankan sejak 2 Jun lalu ditarik balik selaras dengan pengumuman kenaikan petrol dan diesel oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata berikutan langkah itu, pemilik kenderaan asing bebas membeli bahan api itu di mana-mana stesen minyak di seluruh negara.
“Berikutan pengumuman harga baru bahan api berkenaan, kerajaan dengan ini menarik balik larangan menjual minyak bersubsidi kepada kenderaan asing berkuat kuasa sekarang.
“Ini juga bermakna, kita tidak perlu sangat kawalan penguatkuasaan dari segi subsidi minyak kerana harga bahan api di negara ini tidak jauh beza dengan negara jiran,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman pakej penstrukturan semula subsidi bahan api oleh Perdana Menteri, di sini, semalam.
Shahrir berkata, kenaikan harga bahan api itu juga tidak akan menyebabkan harga barangan keperluan dan pengangkutan awam turut meningkat berikutan langkah kerajaan menyalurkan subsidi bahan api itu bagi menangani masalah berkenaan.
“Kita sudah bergerak selangkah ke hadapan dengan memperkenalkan tiga mekanisme harga diesel subsidi iaitu RM1 bagi setiap liter kepada nelayan, pengusaha pengangkutan awam (RM1.43) dan RM1.20 untuk pengusaha pengangkutan air.
“Ini bermakna mereka tiada sebab untuk menaikkan harga barangan atau perkhidmatan pengangkutan awam kerana kita masih mengekalkan subsidi bagi sektor yang kritikal dan membabitkan kepentingan umum,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dalam usaha memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan terhadap kenaikan itu.
“Selain terus memantau pemberian subsidi minyak, kementerian akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pemberian subsidi bahan makanan dan sebarang kenaikan harga barang.
“Kita menjangkakan tidak akan timbul masalah pembayaran subsidi sebanyak RM625 dan RM150 kerana ia dibayar terus kepada pengguna setiap tahun,” katanya.
Shahrir juga berkata, kerajaan mengkaji untuk menghapuskan cukai import kenderaan seperti kebanyakan negara di Asia Tenggara selaras dengan pengenalan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).
“Saya rasa sudah tiba masanya kita menukar sistem kita kepada pasaran yang lebih terbuka.
“Kita tidak boleh sentiasa mengamalkan dasar melindungi ekonomi negara, terutama pengeluar kereta tempatan,” katanya.
Ini keputusan apa ini? Mana yang lebih penting kebajikan rakyat ke atau kebajikan pengusaha-pengusaha stesen minyak? Atau kebajikan rakyat Thailand dan Singapura?
Janganlah rampas hak kami!! Minyak Malaysia masih lagi murah bagi mereka.
Banyak sangat tindakan kerajaan yang memeningkan rakyat. Tolonglah berhenti bersandiwara. Ambik sedikit ikhtibar PRU-12 yang lalu.

Semoga Blog Ini Membawa Sedikit Manfaat Kepada Kamu Ya!